Sunday, January 29, 2012

Prolog

She's My Bodyguard
 PROLOG
 
 
Gadis itu berteleku sendirian di atas sofa lembut di ruang menunggu itu sambil ditemani oleh abangnya. Tangannya diramas-ramas kasar. Air matanya tidak berhenti mengalir dari tadi. Manakala abangnya ke hulur, ke hilir sambil matanya di arah ke pintu bilik kecemasan. Sesekali kakinya terhenti depan pintu itu.
 
 
“Apasal doktor lama sangat kat dalam tu?” Lelaki muda itu membentak  sambil menumbuk kasar pintu bilik itu. Gadis yang berusia sembilan belas tahun itu kelihatan sedikit tersentak apabila melihat abangnya berkelakuan sedemikian. Dia tak tahu apa yang harus diucapkan bagi menenangkan abangnya. Jiwanya turut kacau dengan apa yang berlaku.
 
 
“Mia, Zafriel! Apa yang berlaku ni?” Tiba-tiba dua beradik itu ditegur dari arah kiri mereka. Kedua-dua beradik itu berpaling ke arah suara itu. Kelihatan seorang lelaki yang lebih kurang sebaya dengan ayah mereka berdiri di sebelah lelaki muda itu sambil menepuk perlahan bahunya. Gadis itu terus menerpa ke arah lelaki tua itu dan menangis dalam pelukannya.
 
 
“Ayah kemalangan. Dia kena langgar lari dengan sebuah kereta lepas tu diseret sejauh lima puluh meter dari tempat kejadian. Ibu pula ditembak di dada. Zafriel takut kalau-kalau sesuatu berlaku pada ibu dan ayah, uncle.” Lelaki muda yang bernama Zafriel itu melurut mukanya dengan kedua belah tapak tangannya. Dia mengeluh kasar sambil mengelap air mata di bibir matanya.
 
 
“Jangan risau. Insyallah ibu dan ayah kamu selamat.”
 
 
“Tapi, uncle. kalau ibu dan ayah pergi tinggalkan kitorang? Mia takut sangat uncle. Mia tak sanggup kehilangan diorang.” Makin kuat esakan gadis itu.
 
 
“Mia, kita ada Tuhan yang selalu menolong hambanya. Pintalah pada-Nya, berdoa semoga ibu dan ayah kamu selamat.” Gadis itu hanya mengangguk lemah. Tiba-tiba pintu bilik kecemasan dibuka, muncul seorang lelaki berjubah putih dan berjalan ke arah mereka bertiga.
 
 
“Doktor, macam mana dengan ibu dan ayah saya?” Zafriel bertanya kepada lelaki berjubah putih itu.
 
 
“Kecederaan ayah dan ibu encik teruk. Keadaan Tan Sri terlalu parah. Puan Sri pula mengalami pendarahan yang teruk. Maafkan saya, saya sudah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka berdua, tapi Allah lebih menyayangi mereka.” Setelah selesai menjawab persoalan kedua beradik itu, akhirnya doktor itu melangkah meninggalkan ketiga-tiga orang itu. Mia sudah meraung dalam pelukan abangnya, manakala abangnya turut menangis teresak-esak sambil menenangkan adiknya.
 
 
“Sabarlah, Zafriel, Mia. Sudah tiba janji mereka dengan Penciptanya untuk kembali mengadap Yang Maha Esa. Kamu sebagai anak harus merelakan kepergian mereka, iringi pemergian mereka dengan al-Fathihah dan Yassin. Itu sebaik-baiknya. Emosi kamu berdua belum lagi stabil. Tentang urusan tuntutan jenazah biarlah uncle yang buat. Zafriel, bawak adik kamu ni balik.” Lelaki itu terus ke berlalu meninggalkan mereka berdua.
 
 
“Terima kasih, uncle.”
 
 
 
 
ORANG ramai yang mengiringi kedua jenazah ke tanah perkuburan sudah beransur balik. Yang tinggal hanyalah Mia dan Zafriel. Gadis itu belum lagi berhenti menangis dari tadi. Bahunya dipeluk erat oleh abangnya.
 
 
“Abang! Ayah dan ibu dah tak ada. Diorang tinggalkan Mia sorang-sorang. Lepas ni tak ada sesiapa yang nak sayang Mia lagi, abang.”
 
 
“Mia masih ada abang, Selagi abang hidup abang akan sentiasa sayang Mia. Mia sahajalah keluarga yang abang ada. Cuma abang pinta dari Mia lepas ni kalau abang pun tak ada Mia kena jaga diri Mia dengan baik-baik. Jangan biarkan sesiapa buli Mia.”
 
 
“Abang, kenapa abang cakap macam tu? Abang pun terfikir nak tinggalkan Mia jugak ke?” Pantas Mia mendongak memandang abangnya.
 
 
“Bukan macam tu, sayang. Orang macam kita ni banyak musuh dalam selimut. Janji dengan abang kalau abang dah tak ada di sisi Mia lepas ni, jaga diri baik-baik. Jangan sesekali benarkan sesiapa pun sakiti adik abang yang cantik ni.”
 
 
“Abang..”
 
 
“Janji dulu dengan abang.” Gadis itu mengangguk lemah. Zafriel tersenyum nipis ke arah adik kesayangannya.
 
“Mia janji, bang. Mia takkan biarkan sesiapa sakiti Mia. Mia takkan biarkan diri Mia jadi lemah dan dibuli sesiapa. Mia nak jadi kuat macam abang.”  Zafriel menggosok lembut kepala Mia sambil mengangguk kecil.
 
 
“Macam nilah adik abang.” Mereka berjalan menyusur keluar dari tanah perkuburan Islam itu. Tiba-tiba tangannya ditarik lembut oleh abangnya. Dipeluk erat badannya. Mia tergamam apabila abangnya tiba-tiba bersikap demikian.
 
 
“Mia, bagi abang peluk Mia untuk kali terakhir. Mungkin lepas ni abang dah tak dapat nak peluk bantal busuk abang ni.” Mia masih tak dapat bersuara, dia benar-benar tergamam dengan apa yang diluahkan oleh abangnya.
 
 
“Abang,  ke..kenapa abang cakap ma..macam tu?” Tanya Mia, namun pertanyaannya tidak dijawab oleh abangnya.
 
 
“Ok, jom kita balik.” Zafriel melepaskan pelukannya sambil mengelap matanya. Mia sekali lagi terkejut apabila melihat air mata abangnya. Hatinya tidak sedap tatkala ini. Namun didiamkan sahaja. Gadis itu cuma mengangguk kecil. Mia berjalan mendahului Zafriel, dan langkah gadis itu dituruti oleh abangnya dari belakang.
 
 
Saat kaki Mia melangkah melintas ke seberang, tiba-tiba sebuah kereta laju menuju ke arah gadis itu. Dia tergamam dan tidak dapat menggerakkan kakinya. Mia merasakan abangnya teriak memanggil namanya dengan kuat. Belum pun sempat dia mengalihkan pandangannya ke belakang memandang abangnya, tiba-tiba Mia merasakan badannya melayang tercampak ke tepi jalan, Dia mengaduh kesakitan apabila sikunya melecet dan berdarah. Fikirannya tiba-tiba melayang ke arah abangnya. Kepalanya dipalingkan segera ke belakang. Ya Allah!
 
 
“Abang!”
 
 
 
 
 
 
 






Sinopsis She's My Bodyguard

Mia, nama secantik pemiliknya. Daripada seorang yang nakal dan periang bertukar menjadi seorang pendendam. Tragedi kejam yang menimpa keluarganya membuatkan dia menjadi seorang pendendam, dia berdendam dengan orang yang menghancurkan keluarga bahagianya. Mia muncul kembali dengan identiti baru sebagai Coach Qay yang berkhidmat di sebuah agensi pengawal peribadi yang terkenal di Malaysia setelah tujuh tahun menghilang. Dendam perlu dilunas! Selagi dia tidak melihat orang itu mati, dia tidak akan berdiam diri. Hutang nyawa harus dibayar dengan harga yang setimpal jugak, dan harga yang harus dibayar adalah dengan nyawa juga.



Zayyan Qalish, Cubaan membunuh ke atas Zayyan membuatkan Datuk Qari dan Qaizir nekad mencarikan seorang pengawal peribadi bagi menjaga keselamatan lelaki itu. Qaizir yang menganggap Qaysara salah seorang pengawal peribadi yang cekap, padahal gadis itu sebenarnya cuma seorang pelatih akademi itu telah mengupah gadis itu sebagai pengawal peribadi buat adiknya. Dalam terpaksa, Qaysara terpaksa bersetuju.


Qaysara ~ Ada ke patut aku ni sebagai pengawal peribadi dia disuruhnya memfotokopi kertas kerja dia? Pastu aku terkejar-kejar buat air untuk dia? Rupa aku ni ada muka makcik tukang buat air ke hape?

Zayyan Qalif ~ “Hoi, kau ingat muka aku ni doh tepung ke apa? Sedap-sedap je kau tenyeh-tenyeh, lanyak-lanyak muka aku. Kau ingat muka aku ni ada rupa macam karipap tak siap ke?”


Dalam tempoh menjadi pengawal peribadi kepada Zayyan, berlaku suatu insiden di mana telah membongkarkan kisah sebenar kematian keluarganya yang turut bersangkut paut dengan tragedi yang menimpa Zayyan. Di saat dia sukar menerima hakikat akan kebenaran itu, tiba-tiba muncul seseorang yang membuatkan drinya berada dalam penasaran. Siapakah orang itu dan apa kaitan lelaki itu dengan Qaysara? Siapakah yang bertanggungjawab atas tragedi yang menimpa keluarganya?